Azmin dedah kisah benar di sebalik penghukuman penjara18 bulan

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ulu Kelang, Selangor, Mohd Azmin Ali, yang dijatuhi hukuman 18 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 2 Mei lalu, mendedahkan telah berlaku penyelewengan fakta sehingga beliau dihukum bersalah demikian.

Hakim Akhtar Tahir yang mengendalikan perbicaraan selama setahun itu (10 Mac 2000 - 20 Mac 2001) mendapati Azmin bersalah kerana memberi keterangan palsu pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua tahun lalu.

"Kes ini bukan kes baru," kata Azmin. "Saya sudah dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan ini, pada 13 Julai 1999. Tetapi ia dibuka semula." Dalam satu ceramah di Markas PAS Taman Melewar, 6 Mei, Azmin yang juga Ketua Perhubungan keADILan negeri Selangor, menceritakan semula susur galur kes tersebut, yang bermula sejak beliau ditangkap pada 16 September 1998, sebelum Anwar Ibrahim ditangkap.

Ketika dalam tahanan reman itu, katanya, beliau diugut, ditekan dan dipukul supaya membuat pengakuan palsu untuk meng'aibkan Anwar. Beliau diminta membuat pengakuan: "Anwar liwat saya, Anwar beri rasuah kepada saya, Anwar kaki perempuan, kaki jantan, kaki rasuah. Ustaz Haron Din kaki betina."

Pada 22 September 1998 beliau dibawa ke Mahkamah Majistret dengan tujuan untuk dilanjutkan tempoh tahanan reman ke atasnya. Di hadapan Majistret Azhar Othman, beliau memohon supaya tahanan remannya tidak  dilanjutkan, dengan alasan beliau  diugut dan didera sewaktu dalam tahanan.

"Dia minta saya mengaku Anwar beri saham beratus juta ringgit kepada saya. Dia minta saya buat pengakuan saya ada RM400 juta. Saya tidak boleh terima," kata Azmin menceritakan tekanan pihak polis ke atasnya sewaktu dalam tahanan reman itu.

Antara lain beliau ditanya: Pada tahun 1990 berapa belanja kamu sebulan? Berapa belanja kamu keluarkan kereta? "Mereka memaksa saya mengingati transaksi yang berlaku 10 tahun dulu. Mana kita ingat!" katanya.

Oleh itu, katanya kepada Majistret, "untuk berlaku adil kepada saya dan pihak peguam saya, bebaskan saya supaya saya boleh dapatkan rekod dan dokumen daripada bank, untuk saya kemukakan kepada pihak polis."

Akhirnya, setelah beliau menceritakan pelbagai tekanan yang dilakukan ke atasnya, pada 22 September 1998 Majistret Azhar Othman membuat keputusan: mahkamah memerintah agar tertuduh dibebaskan.Tidak lama selepas itu  Majistret Azhar Othman pun ditukar ke Terengganu.

Apabila Anwar Ibrahim dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada Mac 1999 Azmin dipanggil menjadi saksi. Salah satu soalan yang ditanyakan oleh peguam Christopher Fernando kepadanya ialah: "Apakah yang berlaku kepada kamu dalam tahanan? Dan apakah yang kamu komplen kepada Majistret sewaktu prosiding reman tersebut?"

Azmin menjawab di depan Hakim Augustine Paul: "Saya mengatakan kepada Majistret mengapa saya tidak boleh dilanjutkan tempoh tahanan, kerana tindakan dan ugutan pihak polis semasa dalam tahanan adalah terlalu kejam, dan memaksa saya membuat pengakuan yang melibatkan Sdr Anwar."

Ketua Pendakwa Raya dalam kes itu, Ghani Patail, telah mengambil ayat jawapan Azmin tersebut, lalu membandingkannya dengan nota prosiding reman di depanMajistret Azhar Othman dulu, dan mengatakan Azmin berbohong dalam mahkamah, kerana ayat-ayat tersebut tidak sama.

"Itu saja," kata Azmin, bercerita kepada ribuan orang yang membanjiri markas PAS tersebut, untuk mendapat maklumat sebenar mengenai kes berkenaan. "Itu saja kesalahan saya," katanya. "Memang benar saya tidak menggunakan perkataan demi perkataan. Mustahil. Kalau kita bicara pagi tadi pun, malam ini disuruh ulang balik - apakah kita mampu ulang perkataan demi perkataan? Sudah tentu tidak. Apatah lagi kes ini berlaku setelah tujuh lapan bulan. Mustahil. Tetapi maksudnya sama."

Berikutan itu, pada 23 April 1999 Azmin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di depan Hakim Hamdan Indah. Salah seorang saksi yang dipanggil oleh pendakwa raya adalah Majistret Azhar Othman sendiri. Dan salah satu soalan yang ditanyakan oleh hakim kepada saksi tersebut ialah: "Walaupun tertuduh tidak mengguna perkataan ugut, kejam, secara keseluruhannya mengambil kira hujah peguam dan tertuduh, bermaksud tertuduh telah dipaksa, diugut dengan kejam di dalam tahanan."

Majistret Azhar Othman yang menjadi saksi pihak pendakwa menjawab: "Saya fikir begitu."

Akhirnya pada 13 Julai 1999, setelah tiga bulan perbicaraan berlangsung, Hakim Hamdan Indah memutuskan membuang kes itu, dan membebaskan Azmin daripada tuduhan tersebut.

Tidak berapa lama selepas itu Hakim Hamdan bin Indah ditukar ke Kementerian Pertahanan. Pihak pendakwa raya tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Mereka membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi. Ketua Pendakwa Raya ialah Ghani Patail; manakala hakim yang mendengar kes ini ialah abangnya, Wahab Patail.

(Dalam kes Ezam Mohd Noor baru-baru ini, Wahab Patail berkata beliau tidak boleh mendengar kes tersebut, kerana Ketua Pendakwa Raya ialah adiknya, Ghani> Patail.)

Peguam Azmin ketika itu membuat bantahan. Tetapi Wahab Patail menjawab: dia profesional. Dan dia dengar juga kes tersebut. "Maka dalam tempoh dua hari, Ghani Patail bawa kes ini di depan Wahab Patail," jelas Azmin, "pada 17 Februari Wahab Patail membatalkan keputusan Hamdan Indah, dan mengarahkan kes ini dibuka semula."

Hakim yang ditetapkan untuk membicarakan kes yang dibuka semula ini ialah Akhtar Tahir, iaitu hakim yang pada ketika itu sedang membicarakan kes Rahim Noor. Salah seorang saksi yang dipanggil oleh pihak Azmin untuk disoal sekali lagi ialah saksi pihak kerajaan, iaitu Majistret Azhar Othman. Antara lain beliau ditanya: "Setuju atau tidak, walaupun perkataan ugut, paksa dan kejam tidak direkodkan oleh tuan, tetapi berdasarkan fakta dan hujah yang dikemukakan oleh peguam dan tertuduh pada masa itu, kesimpulan yang tak dapat dielakkan ialah tertuduh telah diugut, dipaksa dan dikejam?"

Azhar menjawab: "Saya setuju, tuan."

Berdasarkan itu, kata Azmin dalam ceramahnya, beliau terkejut mendengar hakim membuat keputusan pada 2 Mei 2001, dengan langsung tidak mengambil kira keterangan dan fakta yang dikemukakan oleh Majistret Azhar Othman. "Dia hanya berhujah bahawa saya pernah menulis surat kepada polis, berterima kasih. Sebab itu maknanya polis tak dera saya, tak ugut saya dan tidak melakukan kekejaman terhadap diri saya."

"Saya mengaku saya ada tulis surat kepada polis, pada 23 September 1998," jelas Azmin, "tetapi bukan berterima kasih kepada mereka."

Mengikut Azmin, apa yang sebenarnya berlaku ialah: sewaktu disoal siasat ketika dalam tahanan reman September 1998, beliau meminta pihak polis supaya jangan menekannya untuk mengingat transaksi yang berlaku 10 tahun yang lepas.

"Saya berjanji kalau saya dibebaskan saya akan dapatkan dokumen berkenaan untuk mereka."

Beliau dibebaskan pada 22 September 1998. Esoknya 23 September, beliau terus pergi ke bank dan syarikat kewangan berkenaan, meminta semua dokumen mengenai pinjaman kereta dan rumahnya, untuk diserahkan kepada polis.

"Tengahari itu juga saya tulis surat kepada Datuk Yaakob, Ketua Bahagian Jenayah. Saya kata, 'Datuk, saya telah menghubungi semua institusi kewangan dan bank untuk mendapatkan salinan rekod, dan saya akan serahkan kepada Datuk sebaik sahaja saya terima salinan ini daripada pihak-pihak berkenaan.' Dan akhirnya saya tulis ayat: 'Kerjasama Datuk amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih'."

Seterusnya Azmin berkata: "Hakim menggunakan surat itu. Dia kata, 'kamu tulis terima kasih kepada Datuk Yaakob, maknanya polis tak buat dera kepada kamu'."

Azmin menjelaskan bahawa dalam perbicaraan itu peguamnya sendiri telah bertanya kepadanya: Mengapa kamu tulis: "Kerjasama Datuk amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih" dalam suratnya kepada Datuk Yaakob?

"Saya beritahu mahkamah: Ini memang cara tradisi kita menulis surat kepada jabatan kerajaan. Kita menghormati jabatan kerajaan." Adakah kerana menggunakan ayat tradisi itu di dalam suratnya kepada pihak polis maka Azmin didapati bersalah dan menerima hukuman 18 bulan penjara?

"Ini pembohongan, penyelewengan fakta," kata Azmin, sambil bertanya: "Kalau kita terima surat daripada Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran, mengenai cukai, yang surat itu diakhiri dengan ayat "Kerjasama tuan amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih", apakah itu maknanya kita tak payah bayar cukai?"

(Berita Ini dipetik dari akhbar terbaru terbitan Penerbitan Pemuda iaitu "Bebaskan" Editor Ahmad Lutfi Othman .Pastikan anda dapatkan akhbar ini dipasaran.Pengedar pengedar  yang berminat menjadi wakil pengedar sila hubungi Encik Zabidi Morad 019 3432056)
>
> PENERBITAN PEMUDA
> 24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
> 53100 Kuala Lumpur
> Tel : 03-40230175  Faks : 03-40220450
> lutfi_detik@hotmail.com
>
> "DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
> HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"