Make your own free website on Tripod.com


Melayu    Murtad ...Murtad ...Murtad

Murtad lagi

Permohonan gugur nama Islam ditolak
Oleh Khairunnisa Hussin

KUALA LUMPUR, Isnin - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak
permohonan seorang wanita untuk menggugurkan perkataan Islam dalam
kad pengenalannya dengan alasan sebagai seorang Melayu, dia tidak
boleh meninggalkan agama Islam.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faiza Tamby Chik, berkata mengikut
artikel 160 Perlembagaan Persekutuan, Lina Joy (plaintif) atau nama
asalnya Azlina Jailani adalah Melayu dan selagi dia didefinisikan sebagai
Melayu, dia tidak boleh meninggalkan agama Islam sama sekali.

"Sebagai seorang Melayu, plaintif kekal dalam ajaran Islam sehingga
beliau meninggal dunia. Dan untuk tujuan penjelasan, saya masih belum
membuat keputusan mengenai pilihan plaintif untuk meninggalkan agama
Islam kerana ini sepatutnya diputuskan oleh Mahkamah Syariah," katanya.

Beliau berkata, mengikut klausa 1 A, Artikel 121 Perlembagaan
Persekutuan, Mahkamah Sivil tidak ada bidang kuasa untuk menentukan
perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Mahkamah Sivil adalah untuk permohonan am, bidang kuasanya menyeluruh
dan boleh digunakan untuk mereka yang beragama Islam dan bukan Islam,
manakala Mahkamah Syariah adalah untuk Enakmen Negeri bagi penganut
Islam di negeri itu," katanya.

Faiza membuat keputusan itu dalam mahkamah terbuka yang mendengar kes
saman Lina terhadap Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (defendan
pertama)
dan Kerajaan Malaysia (defendan kedua) yang didakwa enggan membuat
deklarasi mengenai haknya untuk mengamalkan agama pilihannya.

Dalam afidavitnya, Lina menuntut deklarasi bahawa keputusannya untuk
mengaku dan mengamalkan agama pilihannya adalah pilihannya sendiri dan
bukan oleh pihak lain.

Lina, 37, juga menuntut peruntukan dalam mana-mana undang-undang
Persekutuan atau enakmen negeri atau mana-mana peraturan adalah tidak
sah dan tidak boleh dipakai kepada plaintif kerana dia mengaku mengamalkan
agama Kristian.

Wanita itu, yang mengaku menganut Kristian pada 1998 turut memohon
deklarasisupaya defendan pertama dan kedua tidak boleh mengenakan
atau menentukan apa-apa syarat sebelum plaintif dapat atau dianggap
terkeluar daripada agama Islam.

Plaintif juga memohon defendan memasukkan atau mencatatkan dalam
rekod atau buku pendaftaran bahawa dia sudah meninggalkan agama Islam.

Katanya, walaupun dilahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam sejak awal
lagi, beliau tidak benar-benar mempercayai Islam.

"Sejak tahun 1990 saya sudah mengenali dan memahami agama Kristian.
Kini saya mempunyai kepercayaan sepenuhnya terhadap agama Kristian
dan sudah memeluk agama itu," katanya.

Lina berkata, permohonannya menukar nama di Jabatan Pendaftaran Negara
hanya diluluskan dengan alasan permohonan itu tidak menyebut alasan
penukaran
agama.

"Saya memohon sekali lagi untuk memperbetulkan butir dan agama Islam
dalam kad pengenalan baru saya tetapi ditolak dengan alasan permohonan
saya tidak lengkap dan saya perlu mendapatkan perintah Mahkamah Syariah,"
katanya.

Plaintif berkata, selagi ada perkataan Islam dalam kad pengenalan atau
sijil beranaknya, dia masih dianggap Islam dan tidak dapat melangsungkan
perkahwinan mengikut Pembaharuan Undang-Undang (Akta Perkahwinan dan
Penceraian 1976).

"Saya menderita kerana tidak dapat mendirikan rumah tangga dan mempunyai
keluarga selama ini," katanya.

Lina juga berkata, dia kini bimbang keselamatan diri dan kebebasan kerana
ada laporan akhbar yang menyatakan beberapa golongan dalam masyarakat
Islam berpendapat orang murtad patut dan boleh dihukum mati.

"Laporan akhbar menyebut ada badan berkuasa bercadang menubuhkan atau
memulakan pusat pemulihan khas dan diberi kuasa untuk menahan individu
yang menyimpang daripada ajaran Islam untuk dipulihkan," katanya

Bagaimanakah sikap anda!