Perbedaan antara POLITIK dan SIASAH

Assalamualaikum!

Samada UMNO atau PAS atau apa saja nama parti politik di Tanah Air kita Malaysia, itu semuanya adalah sebagai wadah dan saluran perjuangan yang dibenarkan oleh Perlembagaan negara untuk bergerak dan menjalankan aktivitinya.

Yang menjadi pokok persoalan bagi kita umat Melayu Islam, ialah apa dan arah mana hala tuju kita yang ingin kita lalui sebagaimana yang diperintah oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya kita berjuang, iaitu mengikut landasan pada asasnya kita umat Islam telah pun diberikan kriteria muktamad dalam kehidupan, iaitu: Wajib, Sunat, Harus, Makruh dan Haram.

Jadi, parti politik manakah yang anda nak sokong dan berjuang bersamanya? Dalam membuat pilihan, kita jangan lupa bahawa kita umat Melayu adalah beragama Islam. Sebagai beragama Islam kita mesti menolak fahaman POLITIK sekular, kerana fahaman POLITIK sekular menerima dan mengamalkan "matlamat menghalalkan cara".

Sekarang kita boleh nilai, malahan sejak dari dahulu lagi kita boleh menilainya, parti POLITIK mana satukah yang tidak menerima dan mengamalkan "matlamat menghalalkan cara"? Maka, sebagai umat Islam, parti POLITIK yang tidak mengamalkan "matlamat menghalalkan cara" itulah yang kita wajib sokong dan berjuang bersamanya.

Kita umat Islam jangan melupakan ikrar kita setiap kali kita menunaikan Solat, iaitu melalui doa iftitah yang kita lafazkan. Apabila kita menyokong dan berjuang bersama parti POLITIK yang menerima dan mengamalkan "matlamat menghalalkan cara", dengan sendirinya kita telah menjadi munafik, kerana sewaktu kita tunaikan Solat kita ikrarkan diri kita melalui lafaz doa iftitah itu, tetapi pada masa yang sama kita sendiri pula yang menyokong dan berjuang bersama parti POLITIK yang menerima dan mengamalkan "matlamat menghalalkan cara" itu.

Pak Rampa kepada kami selalu mengingatkan bahawa "Umat Melayu hanya dapat disatukan hanya mematuhi Agama Islam yang dapat menyatukan Umat Melayu", dan "Hanya melalui SIASAH saja yang akan dapat memberi kemenangan kepada Umat Islam.". Katanya lagi, :Jika umat Melayu dan Islam berjuang menggunakan POLITIK, selama itulah kemenangan dan kejayaan akan semakin jauh dari dapat dicapai kerana POLITIK adalah satu sistem yang tidak diredahai dan tidak diberkati oleh Allah s.w.t. Walaupun kelihatannya ada kemajuan dan kejayaan dicapai melalui sistem POLITIK, semua itu adalah kejayaan dan kemajuan yang diperlihatkan oleh Syaitan kepada kita untuk melemahkan kekuatan rohaniah islamiah kita melalui pencapaian fizikal semata-mata seperti bangunan yang indah dan tinggi-tinggi, beroleh kekayaan melalui sistem riba, korupsi, nepotisme yang menjadikan pencapaian rohaniah islamiah kita semakin menurun kita tidak sedari. Apakah kemajuan kebendaan, fizikal seperti bangunan indah besar dan tinggi-tinggi itu, menjadi kaya raya melalui korupsi, nepotisme dan kronisme itu sebagai kejayaan dan kemajuan? Apakah tanpa tingginya pencapaian rohaniah islamiah, iaitu iman dan ketawaan kita terhadap Ilahi; merupakan sebagai kemajuan?. Jangan lupa kepada implikasi Firman Allah s.w.t. mengenai kaum 'Ad yang suka membina bangunan yang tinggi-tinggi dan indah-indah itu!".

Menyentuh tentang POLITIK di negara kita ini Malaysia, kita umat Islam, iaitu orang-orang Melayu mestilah minda dan rohaniah kita berorientasikan kepada maksud yang terkandung dalam doa iftitah itu, dan kita sesama kita mestilah membudayakan segala maksud apa yang terkandung dalam Surah al-Fatihah itu. Ini adalah acuan dan kriteria utama yang kita mesti pegang ukuh dan jangan berganjak daripadanya. Hanya dengan berpegang teguh kepada acuan dan kriteria utama ini saja yang dapat menyelamatkan kita umat Melayu Islam daripada terjebak masuk ke dalam perangkap sekularisme yang diasaskan kewujudannya untuk melemahkan umat Islam. Apabila kita terperangkap dengan nilai-nilai sekularisme, maka dengan sendirinya weltanschaaung tawhidik kita akan lemah dan terhapus, dan maka dengan sebab itulah ada mereka yang sudah terperangkap itu di kalangan kita umat Melayu, memandang dari kacamata sekularisme melihat bahawa Islam tidak akan dapat membawa apa-apa kemajuan, malahan kemunduran; dan berpandangan bahawa tiada satu pun negara Islam yang maju dan berjaya di dunia ini.

Kenapa negara yang rakyatnya majoriti beragama Islam tidak mencapai kemajuan dan kejayaan? Ini adalah kerana akibat umat Islam sendiri yang sudah meninggalkan islamiah kerana berjiwa sekularisme, ya masih menunaikan solat, tetapi solat itu pun adalah solat sekularisme bukannya solat dengan rohaniahnya islamiah. Apabila umat Islam sendiri sudah dapat menguasai pemerintahan Kelantan dan Terengganu, dari kalangan umat Melayu Islam sendiri pula yang mengutuk dan menentangnya.

Menyentuh tentang Kelantan dan Terengganu, kita tidak usah melihat dari sudut POLITIK siapa dan parti apa kedua-dua negeri itu memerintahnya, tetapi kita hendaklah melihat bahawa oleh kerana Malaysia ini kepunyaan pelbagai kaum, kita seharusnya bersyukur kepada Ilahi bahawa Kelantan dan Terengganu itu dikuasai oleh para ulamak dari golongan Melayu, dan barulah kita boleh berkata bahawa dari segi politik kita ada "Ketuanan Melayu", dan Islam mula bertapak untuk ditegakkan sistem pemerintahannya. Dari segi ini semua orang Melayu harus berbangga dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana Kelantan dan Terengganu adalah satu-satu saja negeri-negeri di Malaysia ini 100% di tangan KETUANAN MELAYU yang diperintah oleh umat Islam.

Kelantan dan Terengganu ada banyak kelemahan dari segi pentadbiran negeri dan pelbagai kelemahan lain. Untuk memperbaikinya bagaimana?

Adalah silap jika kita hanya mengutuk dan mengkritik pemerintahan KETUANAN MELAYU itu, tanpa kita Umat Melayu Islam sendiri yang memberi bantuan dan sokongan kepakaran bagi memperbaikinya. Pihak UMNO misalnya, sepatutnya ketepikan fahaman politik, jika sebenarnya UMNO adalah parti politik memperjuangkan untuk membela umat Melayu dan Islam, sepatutnya memberikan segala sokongan dalam semua aspek kepada Kerajaan Kelantan dan Terengganu itu kerana: (a) Kedua-dua negeri itu diperintah oleh KETUANAN MELAYU Islam, (b) Kedua-dua negeri itu diperintah oleh PAS kerana rakyat kedua-dua negeri itu memberikan mandat halal melalui pilihanraya, dan (c) Perlembagaan Negara sendiri memberikan kebenaran PAS memerintah sebagai Kerajaan di kedua-dua negeri itu. Atas sebab-sebab ini maka tiada alasan kita boleh menguktuk dan mengkritik secara tidak membina. Kita harus sedar bahawa jika kita kutuk dan kritik secara tidak membina, kita adalah mengutuk (a) KETUANAN MELAYU, kita mengutuk (b) Orang-orang Melayu yang memberi mandat kepada PAS di kedua-dua negeri itu, dan kita (c) Kita sendiri memusuhi Perlembagaan Negara, kerana Perlembagaan Negara yang membenarkan PAS memerintah di kedua-dua negeri itu.

Contohnya, kalau masalah air di Kelantan, kenapa para ahli korporat Melayu yang kaya raya dari kalangan UMNO tidak bersatu mengumpul dana membantu dari segi kewangan bagi membela rakyat di Kelantan supaya mereka mendapat air yang bersih sebagaimana di negeri-negeri lain yang penuh di bandar-bandarnya didiami oleh orang yang bukan beragama Islam? Kenapa umat Melayu Islam di Kelantan dibiarkan terus mendapat bekalan air yang tidak setara dengan bekalan air yang diberikan kepada para penduduk al-kafirun di bandar-bandar di negeri-negeri lain? Jawapannya ialah kerana apabila orang Melayu melihat sesuatu itu dari sudut fahaman POLITIK, maka akan terhapuslah pandangannya untuk membela MELAYU dan umat yang beragama ISLAM.

Mengikut kata Pak Rampa kepada kami, "Umat Melayu apabila ia berPOLITIK, ia akan lupakan dirinya siapa, ia akan ketepikan ISLAM dan ia akan turut sama menerima dan mengamalkan "matlamat menghalalkan cara", termasuk akan mengkhianati umat Melayu dan Umat Islam sendiri". Sejauh manakah benarnya kata-kata Pak Rampa itu kepada kami murid-muridnya, saya sendiri sudah dapat melihat kebenarannya sedang berlaku sekalarng ini. Saya kemukakan pandangan Pak Rampa ini kepada anda supaya anda memikirkannya sama, betul atau tidak?

Itulah sebabnya Pak Rampa menyarankan gagasannya bahawa Umat Melayu (Umat Islam) tidak usah berPOLITIK dan berpolitiking, tetapi hendaklah kembali kepada SIASAH.

Sekarang parti politik manakah yang anda lihat kecenderungannya lebih kepada SIASAH, parti itulah yang kita umat Melayu Islam patut sokong dan berjuang bersama. Sekiranya parti politik itu memperlihatkan masih juga 35% POLITIK dan 65% SIASAH dalam amalannya, kita sokong yang inilah, dan bagi kita yang sedar bahawa perjuangan mestilah berpaksi kepada Lillahita'ala, kita masuklah menjadi ahli dan aktif supaya kita perjuangkan dalam parti itu supaya ia menjadi 100% SIASAH bagi menolak parti POLITIK yang menerima sekularisme.

Bagi netters yang baru yang masih tidak mengetahui perbedaan antara POLITIK dan SIASAH., di sini disebutkan bahawa POLITIK adalah satu sistem yang mengenepikan Lillahita'ala sebagai nawaitu perjuangannya, tetapi menerima dan mengamalkan "matlamat menghalalkan cara". SIASAH ialah perjuangan dan matlamat perjuangannya berpaksikan nawaitu Lillahita'ala, ke arah mewujudkan Islam sebagai ad-deen, dan membudayakan pemerintahan berbudaya surah al-Fatihah dan mengisi kehidupan dengan apa yang diikrarkan melalui doa iftitah.

Wasalam dpd:
Murid Pak Rampa.

 

         Ke atas      Tarikh artikal diterbitkan : 24 Mei 2001


Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com