Tazkirah Oleh
TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT

Mengajar umat melakukan ikhtiar

ALLAH SWT mengutuskan Nabi s.a.w. kepada manusia
khususnya menerusi peristiwa hijrah itu, ialah hendak
menunjukkan bagaimana Tuhan mentadbir dunia ini. Dalam
banyak-banyak cara ialah melalui kaedah 'setiap
sesuatu kejadian melalui sebab', justeru itu Nabi
s.a.w. telah menggunakan semua cara, kaedah dan sistem
melibatkan kebendaan yang dapat difahami dimengerti
oleh akal manusia.

Sememangnya Nabi s.a.w. berhijrah tidak sama dengan
cara Umar Al-Khattab berhijrah. Walaupun Nabi keluar
dari Makkah bersama Abu Bakar As-Siddiq namun tidak
bererti Nabi berhijrah mengikut cara Abu Bakar. Umar
dengan caranya dan Nabi s.a.w. tetap dengan cara
seorang Nabi dan Rasul Allah yang akan menjadi panduan
dan rujukan umatnya untuk melaksanakan syariat Islam.

Nabi s.a.w. meninggalkan rumahnya pada malam hari,
kerana pada malam yang gelap itu merupakan tabir yang
dapat melindungi Nabi s.a.w. dari perhatian musyrikin
Quraisy. Jika keluar pada siang hari, maka tindakannya
itu tidak menggambarkan usaha ikhtiar untuk mengelak
dari dikesan musuh, sedangkan kafir Quraisy sedang
memperhebat usaha untuk memberkas dan membunuh Nabi
s.a.w..

Sebagai manusia, Nabi s.a.w. menggunakan kemampuan
berfikir setakat yang termampu. Hingga semua cara dan
ikhtiar telah diambil kira dan dipergunakan
sepenuhnya,

Sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah, Nabi s.a.w.
dengan ditemani Abu Bakar menyembunyikan diri di gua
Tsur. Berada di gua Tsur bukan untuk rehat, tetapi
Nabi s.a.w. mengambil masa yang munasabah sekira-kira
kafir Quraisy merasa jenuh mencari dan memburu,
sehingga mereka membuat kesimpulan bahawa Nabi dan
sahabatnya telah jauh meninggalkan kota Makkah.

Suatu jangka masa yang menjadikan kafir Quraisy cukup
letih, sehingga mereka membuat keputusan tiada gunanya
lagi memburu Muhammad s.a.w., sesungguhnya mereka
yakin orang yang diburunya sudah tiada lagi di sekitar
Makkah. Ketika itu barulah Nabi s.a.w. dan Abu Bakar
meninggalkan gua Tsur menuju ke Madinah.

Semasa beberapa hari di gua Tsur, pelbagai usaha
dilakukan untuk mencari maklumat kegiatan kafir
Quraisy Makkah. Untuk tujuan itu kerjasama dari
Abdullah, putera Abu Bakar diperlukan. Nabi s.a.w.
memerintahkan supaya mendapatkan sebanyak mungkin
maklumat penting pergerakan musuh, sebagai panduan
untuk mengatur strategi bagi menyusun langkah mengelak
pertembungan dengan musuh.

Pergerakan Abdullah putera Abu Bakar yang setiap malam
mengunjungi Nabi s.a.w. dan ayahandanya Abu Bakar,
perlu dilindungi dari dikesan oleh musuh. Untuk
menghapuskan kesan jejak kaki Abdullah yang menuju ke
gua Tsur itu, diperlukan khidmat pengembala kambing
Abu Bakar yang dikerahkan supaya membawa
kambing-kambing ternakan mereka di sekitar gua
tersebut. Jika jejak kaki Abdullah tidak dihapus
dengan ratusan jejak binatang ternak itu, nescaya akan
memudahkan puak kafir Quraisy menemui tempat
persembunyian Nabi s.a.w..

Ketika Nabi s.a.w. hendak meninggalkan rumah, baginda
meneruskan usaha yang berasaskan 'sebab-musabbab',
bahawa saidina Ali bin Abi Talib telah diarah oleh
Nabi s.a.w. supaya menggantikan tidur ditempat
pembaringan baginda. Jika ketika itu kafir Quraisy
mengintai dari celah dinding, mereka akan melihat
seolah-olah Nabi s.a.w. sedang tidur ditempatnya.
Usaha itu akan menjadi sebab tercetusnya anggapan
dikepala puak Quraisy, bahawa Nabi s.a.w. masih berada
di dalam rumahnya.

Semuanya menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. telah
melakukan semua cara dan kaedah serta helah untuk
menyelamatkan diri, supaya dicontohi oleh umatnya
kelak. Seorang Nabi bukan sekadar duduk berdoa kepada
Allah SWT agar dirinya diselamatkan dari segala
bahaya, tetapi di samping berdoa baginda telah
melaksanakan semua usaha ikhtiar. Setelah segala usaha
ikhtiar dilaksanakan, maka terserah kepada Allah untuk
menolong hamba-Nya.

Ali bin Abi Talib yang diminta menggantikan tidur di
pembaringan Nabi s.a.w., bukan tidur sebagai tidur
biasa. Sebaliknya tidur yang boleh membahayakan
jiwanya, jika nasib tidak menyebelahinya maka
kemungkinan Ali bin Abi Talib akan terbunuh, jika
musuh menyerbu masuk dan membunuh orang yang
disangkanya Nabi yang sedang tidur lena. Pada zahirnya
saidina Ali tidur, namun pada hakikatnya beliau
memperjuangkan Islam.

Setelah keluar dari rumah, Nabi s.a.w. yakin jika
baginda terus berjalan menuju ke Madinah mengikut
jalan raya biasa, nescaya jejak langkah akan dapat
dipintas oleh musuhnya. Oleh itu Nabi s.a.w. berfikir
bahawa mesti ada usaha ikhtiar untuk mencari jalan
alternatif yang jarang dilalui oleh orang awam. Untuk
itu memerlukan seorang pemandu jalan yang betul-betul
arif, supaya perjalanan Nabi s.a.w. seterusnya bebas
dari ancaman musuh.

Untuk tujuan tersebut, Nabi s.a.w. telah mengupah
seorang bernama Abdullah bin Uraiqit. Meskipun lelaki
itu bernama 'Abdullah', tetapi dia sebenarnya seorang
kafir musyrik. Nabi s.a.w. telah menyelidiki sikap dan
watak lelaki musyrik itu, setelah Nabi s.a.w. merasa
yakin bahawa Abdullah Uraiqit bukan seorang pembelot,
dia sekadar bekerja untuk mendapatkan upah. Justeru
itu Nabi s.a.w. telah memberi kepercayaan kepada
Abdullah Uraiqit sebagai juru pandu jalan alternatif
menuju ke Madinah.

Nabi s.a.w. telah menggunakan khidmat orang kafir,
setelah baginda benar-benar yakin bahawa lelaki
musyrik itu tidak berlaku khianat. Abdullah diminta
menunjukkan jalan-jalan rahsia yang tidak terlintas
oleh musyrikin Quraisy bahawa Nabi s.a.w. akan melalui
jalan-jalan tersebut.

Untuk tujuan menyelamatkan diri dari ancaman Quraisy
Makkah, terlalu banyak perancangan usaha ikhtiar dan
strategi yang diambil oleh Nabi s.a.w.. Semua langkah
yang diambil sesuai dengan kedudukannya sebagai
seorang Nabi dan Rasul yang bakal menjadi contoh
teladan oleh umatnya di kemudian hari. Nabi s.a.w.
tidak melakukan usaha ikhtiar yang tidak boleh atau
tidak terdaya dilakukan oleh manusia lain.

Mengapa Nabi s.a.w. menggunakan segala usaha ikhtiar
yang bersifat maddiyyah? Tujuannya ialah untuk
mengajar kaum muslimin seluruhnya, bahawa menggunakan
kebendaan dan usaha ikhtiar berasaskan sebab-musabbab
itu tidak bercanggah dengan keimanan kepada Allah SWT.
Tuhan menjadikan alam maddiyyah adalah untuk menjadi
sebab kepada keperluan kehidupan manusia di muka bumi.

Tidak wajar menganggap, bahawa Nabi s.a.w. bersembunyi
di gua kerana takut kepada ancaman kafir Quraisy.
Sememangnya Abu Bakar merasa cemas ketika melihat kaki
orang-orang Quraisy yang mundar-mandir di depan gua,
jika mereka membongkok dan menjengah ke dalam lubang
gua nescaya dapat melihat Nabi dan sahabatnya berada
di dalam. Tetapi ketika itu Nabi telah mententeramkan
rasa gelisah Abu Bakar dengan sabdanya yang bermaksud:
"Janganlah cemas wahai Abu bakar. Walaupun kita berdua
di dalam gua, namun ada pihak yang ketiga bersama
kita, iaitu Allah SWT."

Jika Nabi s.a.w. sendiri merasa takut ketika
orang-orang Quraisy yang memburunya sedang berlegar di
pintu gua, maka bagaimanakah orang yang sedang takut
hendak mententeramkan orang lain yang dalam ketakutan?
Nabi tidak pernah merasa takut kerana seorang Nabi
adalah utusan Allah, yang menjalankan kerja-kerja
Tuhan. Justeru itu Nabi s.a.w. tidak takut kerana
yakin bahawa Allah SWT pasti menyelamatkan Rasul-Nya
dan agama Islam yang dibawanya.