Umumnya di kalangan masyarakat kita telah pun sedia maklum bahawa Islam adalah satu agama yang jauh lebih tinggi dan mulia daripada agama-agama lain. Dan sebagai umat Islam, kita seharusnya berbangga dengan hal ini. Tetapi apakah ketinggian Islam itu sudah kita fahami dan hayati dalam kehidupan seharian? Apakah tanggapan kita terhadap Islam tepat seperti apa yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri?
Barangkali sebahagian dari kita menyangka bahawa kita akan menjadi seorang Muslim yang baik setelah menunaikan Rukun Islam yang lima, percaya dan penuh yakin dengan Rukun Iman, tidak rasuah, tidak mencuri, tidak mengumpat dan sebagainya. Tetapi benarkah itu adalah ukuran bagi seseorang Muslim yang baik? Kita semuanya mengetahui bahawa Islam bukan sekadar ibadah yang khusus hanya berhubungan dengan Tuhan semata. Islam sebagai "Addin" selain mengandungi ibadah-ibadah khusus, ia juga mengandungi ibadah umum atau lebih dikenali sebagai fardu
kifayah. Sebab itu ramai di antara para cendekiawan kita pada hari ini cenderung untuk menyebut bahawa Islam bukanlah agama semata tetapi satu cara hidup yang perlu dihayati sepenuhnya jika mahu menjadi seorang Muslim yang baik.
Secara kasar, Islam sebagai satu cara hidup terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama akidah, kedua ibadah dan ketiga syariah. Akidah merupakan pokok dari ajaran Islam. Dalam pengertian yang lebih khusus akidah adalah satu simpulan kepercayaan yang meyakini bahawa Islam itu adalah satu ajaran yang disampaikan oleh Pencipta alam ini melalui para utusannya dimana kepercayaan-kepercayaan itu terangkum di dalamnya aspek-aspek alam ghaib, alam nyata yang berbentuk suruhan, tegahan dan sebagainya. Akidah inilah yang menjadi asas atau akar tunjang dalam setiap
diri individu Muslim. Firman Allah bermaksud:
" Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik adalah seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan itu agar mereka selalu ingat" (Surah Ibrahim: 24-25).
Demikian sifat dan tabiatnya akidah Islam itu. Ia merupakan akar tunjang yang menjadi dasar kepada persoalan seterusnya. Hal ini jelas bila kita melihat bilamana ia tidak sempurna, soal yang lain juga akan turut terjejas. Orang yang akidahnya menyeleweng tidak sah melakukan apa sahaja ibadah lainnya, sekalipun cukup syarat-syarat dan sempurna pelaksanaannya. Dengan itu, akidah adalah asas binaan bagi setiap individu Muslim.
Aspek yang kedua yang diambil kira ialah aspek ibadah. Dalam hubungan ini Nabi Muhammad s.a.w. bersabda dengan maksud:
"Tidaklah iman itu dengan angan-angan, tetapi ia adalah apa yang diikrarkan di hati dan diikuti oleh amal perbuatan".
Dengan lain perkataan, jika kita hanya percaya bahawa sembahyang dan puasa itu wajib ke atas setiap individu Muslim, kita belumlah lagi beriman dengan pengertian yang sebenarnya kecuali setelah kita melaksanakan apa yang kita percaya itu dengan perbuatan. Atau apabila kita memberi amaran kepada seseorang bahawa ada sesuatu yang membahayakan di hadapan lalu meminta dia berhenti tetapi dia masih meneruskan perjalanan maka apa yang dapat dikatakan ialah bahawa orang itu tidak percaya dengan apa yang kita sampaikan.
Apabila Tuhan menetapkan balasan neraka bagi dosa-dosa besar khususnya syirik, tetapi kita masih melaksanakannya, ukurannya di sini ialah kita belum lagi beriman. Singkatnya iman memerlukan kepercayan yang bulat serta amalan yang mengikuti kepercayaan itu. Itulah tabiat dan bentuk akidah Islam.
Seseorang yang mempunyai akidah Islam yang jelas dan mempraktikkan apa yang diyakini adalah seorang Muslim yang baik. Tetapi manusia Muslim, seperti juga manusia lainnya tidak boleh hidup seorang diri. Dengan demikian individu Muslim, seperti individu lainnya memerlukan kepada sebuah institusi iaitu masyarakat. Seorang Muslim tidak harus mengasingkan dirinya dengan alasan untuk mensucikan diri, atau menjauhkan diri dengan alasan bahawa masyarakat kini telah dinodai oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan akhlak Islam. Setiap Muslim seharusnya berusaha
untuk mengubah realiti yang ada supaya selaras dengan kehendak Islam. Firman Allah bermaksud:
" Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. (Ali Imran; 110)"
Oleh itu, di antara tanggungjawab seorang Muslim adalah merubah realiti yang buruk kepada yang baik. Mereka tidak digalakkan bersunyi-sunyian dengan alasan "taqarrub" kepada Allah. Setiap individu Muslim tidak seharusnya berdiam diri terhadap kemungkaran yang berlaku dalam masyarakatnya.
Dalam Islam, sistem sosial itu lebih dikenali sebagai syariah atau perundangan Islam di samping peraturan-peraturan akhlak yang telah digariskan supaya dipatuhi. Rasulullah s.a.w. sendiri telah memimpin negara Islam pertama di Madinah berdasarkan kepada sistem syariah.
Jika kita melihat sendiri kepada perundangan Islam itu, ia meliputi semua lapangan hidup meskipun adakalanya sesuatu perkara hanya diberi panduan umum sahaja. Namun itu bukanlah ukuran untuk menyatakan perundangan Islam adalah tidak sesuai untuk semua tempat, masa dan keadaan. Malah dalam beberapa hal, garis panduan secara umum itu menjadikan perundangan Islam sebagai satu undang-undang yang fleksibal dan sesuai di semua keadaan.
Tidaklah bermakna pula semua undang-undang dan peraturan yang terdapat di dalam sistem ini bersifat fleksibal. Di mana ada dalil-dalil yang qath'i(putus) tentang sesuatu peraturan atau hukum, maka peraturan itu bukanlah sesuatu yang berubah menurut masa dan keadaan, kerana adanya dalil dari al- Quran dan Sunnah sendiri. Apa yang mungkin berubah ialah proses pelaksanaannya boleh jadi lebih sofistikated. Misalnya syarat-syarat untuk seseorang itu dijatuhkan hukuman potong tangan mungkin juga lebih sukar memandangkan keadaan hidup yang kian kompleks. Tetapi
pada dasarnya, hukuman bagi kes kecurian adalah potong tangan. Hukuman ini sabit dengan ayat al-Quran yang bermaksud:
"Dan orang laki-laki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka usahakan. (Juga sebagai) satu hukuman pencegah dari Allah. Dan ingatlah Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana" (Al-Maidah: 38)
Sesungguhnya apabila kita melihat sistem perundangan Islam dari kacamata kini, mungkin ramai di antara kita yang berasakan perundangan tersebut tidak begitu sesuai dengan keadaan semasa dan terkadang semacam bercanggah dengan akal waras manusia. Sebenarnya keunggulan undang-undang Islam tidak akan dapat dilihat jika suasana di sekelilingnya telah dipenuhi oleh kefasadan dan kerosakan-kerosakan moral yang serius. Tentulah aneh jika kita menjalankan hukuman potong tangan ke atas pencuri-pencuri yang didapati bersalah di negara ini sedangkan di pihak lain
kemiskinan masih berleluasa, keadilan ekonomi belum lagi terwujud. Soal pengangguran, penindasan, pembolotan kekayaan oleh pihak-pihak tertentu dan sebagainya yang mendorong orang ramai mencuri masih belum kita selesaikan. Saidina Umar sendiri pernah tidak menjalankan hukuman potong tangan ke atas pencuri di tahun kemelesetan, tetapi tidak pula bermakna beliau menggalakkan perbuatan tersebut. Pertimbangan yang dibuat adalah berdasarkan keadaan yang berlaku ketika itu, iaitu kemelesetan ekonomi yang menyebabkan ramai yang mencuri.
AlKundangi,
09.06.2001